45 peratus ahli ekonomi jangka kemelesetan global berlaku tahun ini

KUALA LUMPUR: Kalangan pakar berbeza pendapat mengenai prospek pemulihan ekonomi global, dengan masing-masing hampir seimbang iaitu kira-kira 45 peratus menjangkakan kemelesetan global berlaku pada tahun ini manakala jumlah yang sama mengunjurkan sebaliknya, demikian menurut laporan terkini Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Laporan Tinjauan Ketua Ahli Ekonomi WEF menunjukkan kalangan pakar berkenaan juga mengunjurkan bahawa dinamik pertumbuhan dan inflasi berbeza mengikut rantau.

Bagi dasar ekonomi, sebanyak 72 peratus daripada ketua ahli ekonomi itu mengunjurkan dasar perindustrian yang proaktif akan menjadi semakin ketara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Biarpun majoriti tidak melihat gangguan sektor kewangan baru-baru ini sebagai petunjuk kelemahan sistemik, aspek kegagalan serta ketidaktentuan bank selanjutnya dianggap sebagai satu kemungkinan pada tahun ini.

“Ekoran kejatuhan bank baru-baru ini dan pergolakan pasaran kewangan, ketua ahli ekonomi menyatakan keyakinan terhadap integriti sistemik pasaran global,” kata WEF dalam kenyataan.

Bagaimanapun, dua pertiga ketua ahli ekonomi berpendapat kegagalan bank dan gangguan akan berterusan, manakala lebih 80 peratus berkata mereka menjangkakan perniagaan akan sukar untuk mendapatkan pinjaman bank ekoran kriteria ketat yang dikenakan.

“Mereka juga mengetengahkan tentang kesan domino kadar faedah tinggi, terutamanya dalam sektor hartanah, yang mana dua pertiga menjangka kadar tinggi akan menyebabkan gangguan ketara pada 2023 dan 2024,” katanya.

WEF berkata kebanyakan aktiviti rancak dijangka berlaku di Asia dengan pembukaan semula sempadan China bakal memacu semula ekonomi negara itu dan merangsang aktiviti di seluruh rantau.

Lebih daripada 90 peratus ketua ahli ekonomi menjangkakan sekurang-kurangnya pertumbuhan sederhana di Asia Timur dan Pasifik serta Asia Selatan.

Mengenai inflasi, WEF berkata, berlaku peningkatan yang ketara di semua rantau dalam nisbah responden yang menjangkakan inflasi tinggi pada 2023 dengan 76 peratus ketua ahli ekonomi menjangkakan kos sara hidup kekal meruncing di banyak negara.

Menurutnya, inflasi keseluruhan telah mula mereda, tetapi inflasi teras masih lagi kekal, bertahan lebih lama daripada yang dijangkakan.

“Dinamik ini amat ketara terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat, yang mana majoriti ketua-ketua ahli ekonomi – masing-masing pada 90 peratus dan 68 peratus, – menjangkakan inflasi yang tinggi atau sangat tinggi tahun ini,” kata laporan itu.

Menurut Pengarah Urusan WEF Saadia Zahidi, edisi terkini Laporan Tinjauan Ketua Ahli Ekonomi itu mengetengahkan ketidaktentuan perkembangan ekonomi semasa.

“Pasaran buruh terbukti berdaya tahan buat masa ini, tetapi pertumbuhan kekal lembap, ketegangan global semakin meningkat, dan kos sara hidup kekal meruncing di banyak negara.

“Keputusan ini menunjukkan akan keperluan mendesak untuk penyelarasan dasar global jangka pendek serta kerjasama jangka panjang bagi rangka kerja baharu untuk pertumbuhan yang akan menggabungkan keterangkuman, kemampanan dan daya tahan ke dalam dasar ekonomi,” katanya.

  • Coelho

    Related Posts

    • News
    • November 25, 2024
    • 31 views
    Sanusi dakwa ada ‘perancangan besar’ gagalkan pelaburan swasta di Kedah

    KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa terdapat perancangan besar untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri itu. Dakwa Sanusi, syarikat yang berhasrat melabur di Kedah…

    • News
    • November 22, 2024
    • 42 views
    Kos perjalanan lawatan rasmi PM ke lima negara ditanggung syarikat swasta

    KUALA LUMPUR: Sebahagian besar kos perjalanan dan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang terlibat sama dalam urusan berkenaan. Beliau memaklumkan…

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    You Missed

    Bin Zayed International buka pejabat di Malaysia, komited labur AS$2 bilion

    • November 25, 2024
    Bin Zayed International buka pejabat di Malaysia, komited labur AS$2 bilion

    Bank Dunia lantik Judith Green dari Jamaica sebagai Pengurus Negara untuk Malaysia

    • November 25, 2024
    Bank Dunia lantik Judith Green dari Jamaica sebagai Pengurus Negara untuk Malaysia

    Sanusi dakwa ada ‘perancangan besar’ gagalkan pelaburan swasta di Kedah

    • November 25, 2024
    Sanusi dakwa ada ‘perancangan besar’ gagalkan pelaburan swasta di Kedah

    SPRM perlu masa lengkapkan siasatan, Mahkamah Sesyen lapangkan tarikh bicara kes Bekas Pengarah Revenue Group

    • November 25, 2024
    SPRM perlu masa lengkapkan siasatan, Mahkamah Sesyen lapangkan tarikh bicara kes Bekas Pengarah Revenue Group

    Kos perjalanan lawatan rasmi PM ke lima negara ditanggung syarikat swasta

    • November 22, 2024
    Kos perjalanan lawatan rasmi PM ke lima negara ditanggung syarikat swasta

    Datasonic cadang pinda perlembagaan syarikat bagi memudahkan kelulusan resolusi

    • November 22, 2024
    Datasonic cadang pinda perlembagaan syarikat bagi memudahkan kelulusan resolusi