Bursa Malaysia diniaga lebih tinggi

author
1 minute, 54 seconds Read

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini berikutan belian semasa harga rendah yang sederhana selepas cuti panjang pada hujung minggu.

Pada 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 1.69 mata kepada 1,417.64 daripada 1,415.95 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Indeks utama dibuka meningkat 0.26 mata kepada 1,416.21.

Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 162 berbanding 145, manakala 227 kaunter tidak berubah, 1,705 tidak diniagakan dan 18 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 242.10 juta unit bernilai RM66.32 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Stret ditutup dalam wilayah negatif pada Isnin berikutan berita pengambilalihan First Republic Bank oleh JPMorgan Chase & Co, menyebabkan banyak pihak percaya bahawa sistem perbankan Amerika Syarikat (AS) masih berdepan krisis.

Purata Perindustrian Dow Jones merosot 46 mata, manakala Nasdaq ditutup rendah 14 mata berikutan hasil 10 tahun Perbendaharaan AS menokok kepada 3.57 peratus.

Sementara itu, beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 3 Mei menjejaskan lagi sentimen apabila banyak pihak yang menjangkakan kenaikan sebanyak 25 mata asas.

“Di peringkat tempatan, untuk hari ini kami berpendapat sedikit pengumpulan saham akan berlaku dan menjangka indeks FBM KLCI dalam aliran meningkat selepas berada dalam jajaran kecil.

“Oleh itu, kami meramalkan indeks ini akan berada dalam julat 1,415-1,425 hari ini memandangkan kita akan berdepan musim keputusan korporat pada bulan ini,” katanya.

Beliau berkata kaunter perladangan mungkin terus menyaksikan sedikit cabaran memandangkan harga minyak sawit mentah merosot kepada paras rendah setakat tahun ini iaitu di bawah paras RM3,400 satu tan.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga masing-masing menambah satu sen kepada RM8.67 dan RM8.91, Petronas Chemicals menokok dua sen kepada RM7.10, manakala Public Bank, CIMB dan CelcomDigi masing-masing tidak berubah pada RM3.89, RM5.06 dan RM4.40.

Bagi saham aktif, Hong Seng meningkat 1.5 sen kepada 14.5 sen, MYEG meraih satu sen kepada 80 sen dan Vinvest Capital menambah setengah sen kepada 21 sen, manakala Reach Energy tidak berubah pada 4.5 sen dan Revenue Group menguncup 1.5 sen kepada 36 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 6.26 mata kepada 10,402.65, Indeks FBMT 100 meningkat 6.28 mata kepada 10,086.50 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 5.53 mata kepada 10,742.32.

Indeks FBM ACE pula rendah 31.87 mata kepada 5,336.51 dan indeks FBM 70 berkurangan 15.30 mata kepada 13,507.28.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.43 mata kepada 171.02, manakala Indeks Tenaga meningkat 0.87 mata kepada 847.24, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 22.06 mata kepada 15,541.59 dan Indeks Perladangan menambah 4.11 mata kepada 6,821.49.

Pasaran ditutup semalam bersempena dengan Hari Pekerja.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *