Skim Pensijilan NANOTrust Dan GRAPHENEVerify bantu pertumbuhan nanoteknologi di Malaysia

author
1 minute, 57 seconds Read

KUALA LUMPUR: Dua skim pensijilan produk dikenali sebagai NANOTrust dan GRAPHENEVeryfi telah dilancarkan hari ini.

Agensi terkemuka dalam bidang teknologi nano dan pengkomersialan penyelesaian termaju, NanoMalaysia Bhd, dalam kenyataan hari ini berkata, skim ini merupakan insiatif di bawah program NanoVerify bagi mempercepatkan pertumbuhan nanoteknologi di Malaysia dengan meningkatkan kebolehpercayaan pengguna terhadap produk yang berkaitan nanoteknologi.

Katanya, ia sekaligus membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai produk mengandungi nano mendapatkan kepercayaan kredibel bagi menembusi pasaran lebih luas, sama ada dalam atau di luar negara.

Kesemua produk pembuatan termasuk kosmetik, makanan, automotive dan tekstil yang mempunyai bahan nano boleh memohon untuk skim pensijilan ini.

Bukan itu sahaja, ia juga menyumbang kepada penciptaan ekosistem nanoteknologi yang dinamik dan progresif, termaktub dalam Dasar dan Strategi Kebangsaan Nanoteknologi 2021-2030 (DSNN), untuk menangani pelbagai cabaran serta memacu industri nanoteknologi dan graphene Malaysia ke hadapan.

“Dalam dua Rancangan Malaysia yang lepas, negara telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam membangunkan industri nanoteknologi. 

“Malaysia telah menubuhkan dirinya sebagai pusat pengiktirafan bagi penyelidikan, pembangunan, dan komersialisasi nanoteknologi, dengan kumpulan penyelidik yang terampil, institusi penyelidikan bertaraf dunia, serta persekitaran dasar yang menyokong,” katanya.

Terdahulu, pelancaran skim NANOTrust dan GRAPHENEVerify dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup, yang turut dihadiri Pengerusi NANOVerify Sdn Bhd, Datuk Fadilah Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr Rezal Khairi Ahmad.

Menerusi acara yang sama, turut disampaikan skim pensijilan kepada 29 syarikat yang telah berdaftar.

Kesemua sijil ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga diiringi oleh Pengerusi NANOVerify Sdn. Bhd., Datuk Fadilah Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NanoMalaysia Berhad, Dr Rezal Khairi Bin Ahmad.

Selain itu, NanoMalaysia berkata, kedua-dua skim itu turut menekankan penempatan produk nano berkualiti di pasaran sambil menangani kebimbangan tentang tuntutan produk.

Katanya, inisiatif tersebut juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam membina infrastruktur berdaya tahan dan memupuk inovasi. 

“Industri berteknologi tinggi, termasuk nanoteknologi, telah terbukti lebih tahan lasak dalam krisis berbanding dengan industri berteknologi rendah,” katanya.

Tambah kenyataan itu, MOSTI mengiktiraf potensi nanoteknologi yang sangat luas dan jauh mencapai, baik dari segi inovasi mahupun ekonomi.

“MOSTI dengan bangganya menyokong NanoMalaysia dan NanoVerify dalam pelaksanaan skim ini, yang dijangka memberikan sokongan kepada lebih daripada 1,000 segmen produk nanoteknologi serta graphene tempatan, dengan nilai kolektif yang dijangka mencapai RM640 juta menjelang 2025,” katanya.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *