LANGKAWI: Sebanyak 525 pempamer mewakili 140 syarikat dari seluruh dunia menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang bermula esok.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, LIMA edisi ke-16 ini dianggap sebagai penganjuran yang terbesar setakat ini.
Katanya, penganjuran LIMA kali ini amat dinantikan ramai pihak memandangkan kali terakhir ia diadakan pada 2019.
“Berbanding dahulu (2019), kali ini lebih banyak penyertaan iaitu sebanyak 525 pempamer semuanya, selain penyertaan lima pasukan aerobatik terkemuka menjadikannya terbesar dalam sejarah.
“Pameran juga disertai 119 pesawat yang menyertai pameran statik dan aerobatik, selain 40 kapal tentera laut dari dalam dan luar negara,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan segmen maritim di Resort World Langkawi (RWL) di sini, hari ini.
Mohamad berkata, LIMA ’23 juga bakal menyaksikan beberapa memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani untuk kedua-dua sektor pertahanan dan komersial, bernilai mencecah RM18 bilion.
“Bagi Kementerian Pertahanan saja RM10 billion selebihnya membabitkan kementerian lain termasuk Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi lain yang terbabit sama dalam pameran kali ini,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pertahanan tiba di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada jam 10 pagi bagi meninjau persiapan gerai pameran segmen aeroangkasa, sebelum meninjau persiapan segmen maritim di RWL.
Penganjuran LIMA ’23 membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (Industri Pertahanan Maritim dan Aerongkasa) dan Kementerian Pengangkutan (Industri Komersil Maritim dan Aeroangkasa).