KUALA LUMPUR: Volvo Trucks Malaysia mengumumkan ketibaan model trak elektrik tugas berat prime mover yang pertama di pasaran Malaysia.
Dua unit terawal itu turut menjadi model pertama seumpamanya diperkenalkan di rantau Asia Tenggara dan diserahkan kepada syarikat logistik Swift Haulage Berhad.
Menjadi model pertama seumpamanya diperkenalkan di rantau Asia Tenggara, trak yang dibina di atas prime mover Volvo FM itu diserahkan kepada syarikat logistik Swift Haulage Berhad.
Pengenalan ini turut menandakan kemasukan model-model berkuasa elektrik Volvo FM, FH dan FMX ke pasaran Malaysia kelak.
Volvo Fully Electric Prime mover membawakan unit pacuan elektrik berkuasa sehingga 657 hp dan daya kilas 2,400 Nm dengan pelbagai konfigurasi pacuan boleh ditetapkan termasuklah 4×2, 6×2 dan 6×4.
Trak elektrik prime mover Volvo FM ini dilengkapi dengan pek bateri berkapasiti sehingga 540 kWh, dengan jarak gerak sejauh 300 km untuk sekali cas penuh.
Prime mover Volvo ini menyokong pengecasan AC 43 kW di mana bateri boleh dicas sehingga penuh dalam masa 10 jam, atau sehingga dua jam dengan menggunakan pengecasan pantas DC 250 kW.
Selain daripada itu, ia juga turut membawakan rekaan kabin aerodinamik bertujuan untuk mengurangkan kesan rintangan angin, serta membantu mencapai jarak gerak yang lebih berkesan.
Untuk keselamatan, Volvo Prime Mover ini dilengkapi dengan sistem bunyi yang mampu memberikan amaran kepada pengguna jalan raya terutama pejalan kaki, bantuan pengelakan pelanggaran titik buta (Side Colision Avoidance Support) selain unit lampu LED yang terang.
Ruang kabin Volvo FM Electric Prime Mover ini dilengkapi dengan penggunaan bahan yang mampu meminimumkan pelepasan gas emisi, serta rekaan yang mampu mengelakkan kecederaan.
Sistem stereng dinamik Volvo (Volvo Dynamic Steering) merupakan sistem aktif yang direka untuk membantu pengendalian dan kestabilan, sementara segala data boleh dibaca menerusi skrin digital kluster berdefinisi tinggi 12 inci dan skrin tengah bersaiz sembilan inci.
Berbanding trak konvensional, trak elektrik Volvo ini mampu menyediakan persekitaran kerja yang lebih sihat tanpa bunyi bising enjin dan gegaran di dalam kabin, selain mempromosikan impak yang rendah terhadap alam sekitar.
Selain itu, berdasarkan ujian bebas trak elektrik Volvo juga menggunakan 50 peratus kurang tenaga jika dibandingkan dengan trak Volvo berkuasa diesel di bawah kondisi pemanduan yang sama, jadi ia memberikan penjimatan bahan api yang lebih baik untuk pemanduan berjarak serupa.
Volvo Trucks percaya pendekatan pelbagai pihak merupakan kunci dalam pembinaan ekosistem elektrik di Malaysia.
Menerusi kerjasama dengan rakan seperti Malaysian Green Technology And Climate Change (MGTC), Volvo Trucks akan didaftarkan di bawah inisiatif MyHijau untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan hijau kepada pelbagai pemain industri di Malaysia.
Di bawah MyHijau, pemain industri yang memilih Volvo Electric Trucks akan mendapat manfaat seperti berikut:
- Insentif cukai teknologi hijau seperti Green Investment Technology Allowance (GITA)
- Analisis kos pemilikan penuh berdasarkan keperluan logistik
- Sokongan dan latihan untuk operator trak, pemandu dan juruteknik untuk teknologi EV, prosedur penyelenggaraan dan amalan terbaik
- Sokongan pembiayaan fleksibel oleh institusi kewangan
Selari dengan komitmen kerajaan untuk memasang lebih banyak stesen pengecasan menjelang 2025, Volvo Trucks berharap pertimbangan yang lebih besar diberikan kepada industri logistik dan pengangkutan yang akan menyokong talian hayat ekonomi negara.