SUBANG JAYA: Smart Malaysia membuka tempahan model kereta elektrik (EV), smart #1 dengan harga bagi smart #1 Pro, Premium dan BRABUS dengan cukai jualan dan perkhidmatan (di atas jalan, tanpa insurans) adalah daripada RM200,000 hingga RM250,000.
Pembukaan tempahan itu dibuat bersempena dengan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) yang dipertingkatkan antara smart Automobile dan Proton Holdings Bhd (PROTON) berlangsung di Nanning, China.
Barisan model smart #1 yang akan dijual di Malaysia terdiri daripada model Pro, Premium dan BRABUS yang telah disesuaikan khusus untuk pasaran Malaysia.
Varian Pro dan Premium mempunyai reka bentuk yang bergaya dan menawarkan pengalaman pemanduan yang terbaik sebagai kenderaan elektrik pintar, manakala model smart #1 BRABUS ialah kereta super berprestasi tinggi yang menampilkan reka bentuk luaran yang menarik dan dalaman terang dan dinaik prestasi yang benar-benar melancarkan prestasi nadi elektrik.
Varian smart #1 Pro menampilkan roda aloi 19 inci seretan rendah untuk kestabilan dan bumbung Halo Panoramik untuk cahaya dan pemandangan semula jadi.
Ia dikuasakan oleh bateri LFP 49kWh, menyediakan jarak WLTP sejauh 315 kilometer (km).
Varian smart #1 Premium pula menawarkan tambahan ciri termasuk lampu depan CyberSparksLED + Matrix, gril hadapan bercahaya, dan bateri NMC 66kWh.
Ia dilengkapi dengan motor tunggal 200kW/343Nm yang memacu roda belakang, memberikan jarak WLTP sejauh 440km.
Bagi varian smart #1 BRABUS, ia direka untuk peminat berprestasi tinggi, dengan masa pecutan 0 ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 3.9 saat.
Smart #1 Pro boleh ditempah dengan warna luaran Digital White, Laser Red, Cyber Silver, Quantum Blue, dan Future Green.
Selain lima warna asal, smart #1 Premium turut menawarkan Atom Grey – Matte dan Lumen Yellow.
Bagi upholsteri dalaman, smart #1 Pro menampilkan trim standard ‘After Dark’, manakala varian Premium menerima trim ‘Dark Matter’ dua tona putih dan hitam, dan kedua-duanya menampilkan Eclipse Black Roof kecuali Atom Grey, pilihan warna matte yang menerima bumbung berwarna badan.
smart #1 BRABUS menerima trim dalaman ‘BRABUS’ yang eksklusif dan warna luarannya menawarkan tujuh kombinasi yang berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia, Zhang Qiang, berkata pembukaan tempahan itu menyaksikan syarikat itu kini bersedia dengan penghantaran pertama kenderaan kepada pelanggan pada suku keempat tahun ini menerusi sembilan pengedar sah.
“Kami juga teruja untuk mengumumkan program manfaat #1 Early Bird, bakal memberi ganjaran kepada pelanggan yang merebut peluang ini untuk menjadi antara pemilik pertama smart #1,” katanya dlam satu kenyataan.