KUALA LUMPUR: Pemegang saham syarikat pemproses dan peniaga produk makanan laut sejuk beku, dan peniaga produk makanan lain, PT Resources Holding Berhad, sebulat suara menyokong semua resolusi yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) keempat hari ini.
Resolusi biasa yang merangkumi urusan rutin AGM telah diluluskan tanpa pertikaian.
Selain itu, resolusi khas, berkaitan dengan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Syarikat, juga mendapat kelulusan sebulat suara.
Syarikat juga telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.65 sen sesaham biasa berjumlah RM3.48 juta untuk tahun kewangan berakhir 30 April 2024 akan dibayar pada 10 November 2023.
Ini merupakab agihan dividen pertama daripada Syarikat sejak penyenaraiannya pada September 2022.
Pengarah Urusan PT Resources, Encik Heng Chang Hooi, berterima kasih kepada para pemegang saham syarikat di atas kepercayaan dan sokongan mereka yang tidak berbelah bagi.
“Kepercayaan mereka terhadap Kumpulan adalah asas kejayaan kami dan mendorong komitmen kami untuk lebih cemerlang.
“Ia merupakan tahun yang luar biasa bagi kami. Kami mencatatkan pertumbuhan hasil yang kukuh pada TK2023, lonjakan yang luar biasa sebanyak 44.0% kepada RM502.6 juta, berbanding TK2022.
Peningkatan ketara ini adalah disebabkan oleh permintaan dalam dan luar negara, katanya dalam satu kenyataan.
PT Resources meramalkan momentum jualan yang berterusan apabila pemulihan global berkembang dan dengan sempadan China dibuka semula secara beransur-ansur.
Ini disokong oleh usaha Kumpulan untuk memenuhi jumlah pelanggan yang semakin meningkat di luar negara, terutamanya melalui anak syarikat baharu di China dan Indonesia.