Bekas CEO MBI Kedah didakwa berhubung rasuah REE

  • News
  • November 20, 2023

ALOR SETAR: Dua bekas pegawai kanan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, didakwa hari ini berhubung kegiatan perlombongan haram mineral unsur nadir bumi (REE) di negeri ini.

Kedua-dua mereka adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, Muhamad Sobri Osman, 63, dan bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab, 50,

Muhamad Sobri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM4 juta membabitkan kegiatan perlombongan REE pada Mei lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Sobri didakwa meminta suapan bagi dirinya iaitu wang RM4 juta daripada John Abad Pe di Central Hotel Hatyai, Songkhla, Thailand pada 20 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Muhamad Sobri didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suapan wang tunai RM1 juta daripada John Abad Pe melalui Liyana Mamat@Khalid, 40.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di perkarangan tempat letak kenderaan Wisma Darul Aman di sini, pada 29 Mei lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tindakan meminta dan menerima rasuah itu dibuat sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd menjalankan usaha sama perlombongan mineral melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBI Kedah dengan syarikat berkenaan.

Muhamad Sobri didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksium 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahah Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh, Natrah Fareha Rahmat dan Muhammad Asraf Mohamed Thahir, manakala tertuduh diwakili peguam Ibrahim Ismail dan Mohammed Zamri Ibrahim.

Pihak pendakwaan kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan berikutan kes terbabit membabitkan isu kepentingan awam.

Bagaimanapun, peguam tertuduh meminta ikat jamin lebih rendah berikutan Muhamad Sobri kini tidak mempunyai pendapatan tetap kerana tidak lagi bekerja selain perlu menyara isteri dan seorang anak yang masih belajar.

Rohatul kemudian membenarkan Muhamad Sobri diikat jamin RM100,000 bersama seorang penjamin, menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Mahkamah menetapkan tarikh 22 Januari 2024 bagi proses serahan dokumen berkaitan kes terbabit.

Muhammad Sobri kemudian membayar wang jaminan terbabit di kaunter Komplek Mahkamah Alor Setar.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Mohamad Hilmi mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Suzana Hussin, selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini.

Tertuduh didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Hilmi didakwa meminta dan menerima suapan wang tunai masing-masing berjumlah RM250,000 serta RM150,000 daripada Pengarah Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd, Liana Mamat@Khalid, 40, melalui seorang lelaki dikenali sebagai Syed Muhammad Syid Aluvi, 34.

Suapan itu adalah sebagai dorongan kepada tertuduh untuk membantu Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhdmendapat kelulusan permohonan lesen perlombongan dan penjelajahan REE di Kedah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A, Taman Sri Hartamas dan di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas, pada 4 serta 11 Julai lalu.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Naqiuddin Shahab.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM45,000 terhadap Mohamad Hilmi dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan, selain menetapkan sebutan semula kes pada 12 Januari tahun depan.

Coelho

Related Posts

FGV kembali catat untung bersih pada suku tahun pertama sebanyak RM36.48 juta

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM36.48 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) berbanding kerugian bersih RM13.49 juta yang dicatatkan pada suku sama…

  • News
  • April 18, 2025
  • 402 views
Laporan Ambank bergabung dengan Affin hanya spekulasi – Premier Sarawak

KUALA LUMPUR: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan laporan yang mendakwa negeri itu mahu mengambil alih kepentingan dalam AMMB Holdings Bhd (Kumpulan AmBank) untuk bergabung dengan Affin…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You Missed

Shahriman mengaku tidak ambil tindakan walau tidak setuju dengan pembiayaan Menara Sapura

  • June 14, 2025
Shahriman mengaku tidak ambil tindakan walau tidak setuju dengan pembiayaan Menara Sapura

e-Invois dikecualikan buat masa ini untuk pembayar cukai dengan jualan tahunan bawah RM500,000 – LHDN

  • June 5, 2025
e-Invois dikecualikan buat masa ini untuk pembayar cukai dengan jualan tahunan bawah RM500,000 – LHDN

Pendirian tidak konsisten Shahriman dedah kepincangan pembubaran Sapura Holdings

  • June 4, 2025
Pendirian tidak konsisten Shahriman dedah kepincangan pembubaran Sapura Holdings

Hampir 80% penurunan untung selepas cukai dicatat BDB bagi tahun kewangan 31 Dis 2024

  • May 29, 2025
Hampir 80% penurunan untung selepas cukai dicatat BDB bagi tahun kewangan 31 Dis 2024