Pengembangan Airbus Di Malaysia Buka Peluang Kepada Syarikat Tempatan

KUALA LUMPUR: Airbus yang menfokuskan kepada kelestarian menawarkan peluang yang penting untuk Malaysia menyumbang kepada masa depan penerbangan hijau apabila pengeluar pesawat itu bersedia untuk mengembangkan operasi dan sumber di Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, berkata langkah itu membuka banyak peluang untuk syarikat-syarikat tempatan menyertai rantaian bekalan global Airbus.

“Saya telah bertemu dengan Naib Presiden Eksekutif Airbus Antarabangsa, Wouter van Wersch baru-baru ini. Dalam pertemuan itu ada dibincangkan mengenai perniagaan masa depan untuk Airbus dan tumpuan adalah kepada kelestarian dan penyahkarbonan.

“Malaysia bersedia untuk memainkan peranan penting dalam kedua-dua bidang ini,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama melalui aplikasi pesanan segera.

Malaysia telah menjalin hubungan yang kukuh dan strategik dengan Airbus, iaitu syarikat pengeluar pesawat multinasional dari Eropah dan menjadikannya salah satu pemain utama dalam pasaran aeroangkasa Asia-Pasifik.

“Sebagai pasaran ketiga terbesar bagi Airbus di rantau ini selepas China dan India, Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global dan operasi perniagaan Airbus,” jelasnya.

Kira-kira 50 syarikat Malaysia adalah sebahagian daripada rangkaian pembekal Airbus pada masa ini, menyediakan pelbagai jenis produk meliputi bahagian dan komponen aeroangkasa termasuk Composites Technology Research Malaysia (CTRM), Spirit Aerosystems Malaysia Sdn Bhd dan SME Aerospace Sdn Bhd.

Kehadiran Airbus adalah penting di Malaysia, dengan lebih 280 pesawat komersial yang sedang beroperasi bersama syarikat penerbangan Malaysia termasuk helikopter awam dan helikopter tentera serta hampir 400 pesawat yang telah ditempah untuk penghantaran pada masa akan datang.

Dari segi pesawat untuk syarikat penerbangan, Malaysia Airlines menjangkakan menerima lima pesawat Airbus A330neo menjelang suku pertama 2025, selepas ketibaan pesawat A330neo pertama pada Oktober.

Bagi AirAsia, kumpulan itu menjangkakan untuk menerima lima lagi pesawat Airbus A321neo baharu menjelang akhir tahun ini.

“Selain itu, Airbus telah menyatakan komitmennya untuk memperluaskan rangkaian pembekalnya di Malaysia, dengan matlamat untuk melibatkan lebih banyak syarikat tempatan dalam beberapa tahun akan datang.

“Pengembangan ini bukan sahaja meningkatkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan Airbus, tetapi juga merangsang pertumbuhan dan pembangunan industri aeroangkasa tempatan,” kata Eldeen Husaini.

Selain Airbus, duta besar itu berkata langkah Malaysia Airlines untuk mengembangkan laluannya ke Paris bakal menyumbang kepada peningkatan aliran perniagaan serta memberi impak yang signifikan dalam mempromosikan hubungan antara Malaysia dan Perancis.

“Saya sangat gembira apabila mengetahui syarikat penerbangan nasional merancang untuk berkembang di sini (Paris).

“Ini selaras dengan acara-acara penting yang akan datang di Malaysia, seperti Kepengerusian Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Sukan SEA 2027,” katanya.

Beliau turut optimis mengenai kemasukan pelancong, pengembara perniagaan dan pegawai dari Perancis ke Malaysia hasil daripada penerbangan terus ke Paris.

Malaysia Airlines akan menawarkan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 22 Mac 2025.

Perkhidmatan itu akan beroperasi empat kali seminggu dan tiket untuk penerbangan terbabit akan tersedia dengan tambang pengenalan pergi balik serendah RM3,699. – BERNAMA

Coelho

Related Posts

Pendirian tidak konsisten Shahriman dedah kepincangan pembubaran Sapura Holdings

KUALA LUMPUR – Perbicaraan petisyen pembubaran Sapura Holdings Sdn Bhd terus menarik perhatian apabila keterangan yang dikemukakan menunjukkan kekeliruan dan pendirian tidak konsisten oleh pengarah syarikat, Shahriman Shamsuddin, dalam isu…

Hampir 80% penurunan untung selepas cukai dicatat BDB bagi tahun kewangan 31 Dis 2024

KUALA LUMPUR: Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) mencatatkan penurunan 79.5% untung selepas cukai (PAT) sebanyak RM2.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, berbanding RM12.47 peratus pada 2023. Perolehan juga menurun 5.9…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You Missed

e-Invois dikecualikan buat masa ini untuk pembayar cukai dengan jualan tahunan bawah RM500,000 – LHDN

  • June 5, 2025
e-Invois dikecualikan buat masa ini untuk pembayar cukai dengan jualan tahunan bawah RM500,000 – LHDN

Pendirian tidak konsisten Shahriman dedah kepincangan pembubaran Sapura Holdings

  • June 4, 2025
Pendirian tidak konsisten Shahriman dedah kepincangan pembubaran Sapura Holdings

Hampir 80% penurunan untung selepas cukai dicatat BDB bagi tahun kewangan 31 Dis 2024

  • May 29, 2025
Hampir 80% penurunan untung selepas cukai dicatat BDB bagi tahun kewangan 31 Dis 2024

Farm Fresh catat peningkatan untung bersih 18.5% kepada RM28.4 juta pada suku keempat 2025

  • May 29, 2025
Farm Fresh catat peningkatan untung bersih 18.5% kepada RM28.4 juta pada suku keempat 2025