Pengembangan Airbus Di Malaysia Buka Peluang Kepada Syarikat Tempatan

KUALA LUMPUR: Airbus yang menfokuskan kepada kelestarian menawarkan peluang yang penting untuk Malaysia menyumbang kepada masa depan penerbangan hijau apabila pengeluar pesawat itu bersedia untuk mengembangkan operasi dan sumber di Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, berkata langkah itu membuka banyak peluang untuk syarikat-syarikat tempatan menyertai rantaian bekalan global Airbus.

“Saya telah bertemu dengan Naib Presiden Eksekutif Airbus Antarabangsa, Wouter van Wersch baru-baru ini. Dalam pertemuan itu ada dibincangkan mengenai perniagaan masa depan untuk Airbus dan tumpuan adalah kepada kelestarian dan penyahkarbonan.

“Malaysia bersedia untuk memainkan peranan penting dalam kedua-dua bidang ini,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama melalui aplikasi pesanan segera.

Malaysia telah menjalin hubungan yang kukuh dan strategik dengan Airbus, iaitu syarikat pengeluar pesawat multinasional dari Eropah dan menjadikannya salah satu pemain utama dalam pasaran aeroangkasa Asia-Pasifik.

“Sebagai pasaran ketiga terbesar bagi Airbus di rantau ini selepas China dan India, Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global dan operasi perniagaan Airbus,” jelasnya.

Kira-kira 50 syarikat Malaysia adalah sebahagian daripada rangkaian pembekal Airbus pada masa ini, menyediakan pelbagai jenis produk meliputi bahagian dan komponen aeroangkasa termasuk Composites Technology Research Malaysia (CTRM), Spirit Aerosystems Malaysia Sdn Bhd dan SME Aerospace Sdn Bhd.

Kehadiran Airbus adalah penting di Malaysia, dengan lebih 280 pesawat komersial yang sedang beroperasi bersama syarikat penerbangan Malaysia termasuk helikopter awam dan helikopter tentera serta hampir 400 pesawat yang telah ditempah untuk penghantaran pada masa akan datang.

Dari segi pesawat untuk syarikat penerbangan, Malaysia Airlines menjangkakan menerima lima pesawat Airbus A330neo menjelang suku pertama 2025, selepas ketibaan pesawat A330neo pertama pada Oktober.

Bagi AirAsia, kumpulan itu menjangkakan untuk menerima lima lagi pesawat Airbus A321neo baharu menjelang akhir tahun ini.

“Selain itu, Airbus telah menyatakan komitmennya untuk memperluaskan rangkaian pembekalnya di Malaysia, dengan matlamat untuk melibatkan lebih banyak syarikat tempatan dalam beberapa tahun akan datang.

“Pengembangan ini bukan sahaja meningkatkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan Airbus, tetapi juga merangsang pertumbuhan dan pembangunan industri aeroangkasa tempatan,” kata Eldeen Husaini.

Selain Airbus, duta besar itu berkata langkah Malaysia Airlines untuk mengembangkan laluannya ke Paris bakal menyumbang kepada peningkatan aliran perniagaan serta memberi impak yang signifikan dalam mempromosikan hubungan antara Malaysia dan Perancis.

“Saya sangat gembira apabila mengetahui syarikat penerbangan nasional merancang untuk berkembang di sini (Paris).

“Ini selaras dengan acara-acara penting yang akan datang di Malaysia, seperti Kepengerusian Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Sukan SEA 2027,” katanya.

Beliau turut optimis mengenai kemasukan pelancong, pengembara perniagaan dan pegawai dari Perancis ke Malaysia hasil daripada penerbangan terus ke Paris.

Malaysia Airlines akan menawarkan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 22 Mac 2025.

Perkhidmatan itu akan beroperasi empat kali seminggu dan tiket untuk penerbangan terbabit akan tersedia dengan tambang pengenalan pergi balik serendah RM3,699. – BERNAMA

Coelho

Related Posts

Datuk Kuok Meng Xiong Dilantik Pengarah Urusan Kumpulan PPB Group Bhd

KUALA LUMPUR — PPB Group Bhd (PPB) mengumumkan pelantikan Datuk Kuok Meng Xiong sebagai Pengarah Urusan Kumpulan yang baharu berkuat kuasa 1 September 2026. Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PPB…

MN Holdings Raih Prestasi Kukuh, Keuntungan Suku Ketiga Cecah RM21.3 Juta

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Kumpulan kejuruteraan utiliti dan tenaga, MN Holdings Berhad, meneruskan momentum pertumbuhannya apabila mencatat keuntungan bersih sebanyak RM21.33 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You Missed

Datuk Kuok Meng Xiong Dilantik Pengarah Urusan Kumpulan PPB Group Bhd

  • June 3, 2026
Datuk Kuok Meng Xiong Dilantik Pengarah Urusan Kumpulan PPB Group Bhd

Helios Solar Rancang IPO Bernilai EUR27 Juta di Bursa Frankfurt, Sasar Pengembangan Malaysia dan Eropah

  • June 3, 2026
Helios Solar Rancang IPO Bernilai EUR27 Juta di Bursa Frankfurt, Sasar Pengembangan Malaysia dan Eropah

Helios Solar Plans EUR27 Million IPO on Frankfurt Stock Exchange

  • June 3, 2026
Helios Solar Plans EUR27 Million IPO on Frankfurt Stock Exchange

MyKad Struktur Baharu Dilancar Berperingkat, JPN Minta Orang Ramai Tidak Tergesa-Gesa

  • May 29, 2026
MyKad Struktur Baharu Dilancar Berperingkat, JPN Minta Orang Ramai Tidak Tergesa-Gesa

MN Holdings Raih Prestasi Kukuh, Keuntungan Suku Ketiga Cecah RM21.3 Juta

  • May 29, 2026
MN Holdings Raih Prestasi Kukuh, Keuntungan Suku Ketiga Cecah RM21.3 Juta

IJM Properties Lupuskan Aset Komersial di Sandakan pada Harga RM47.5 Juta

  • May 29, 2026
IJM Properties Lupuskan Aset Komersial di Sandakan pada Harga RM47.5 Juta