Kuala Lumpur, 30 Julai – Penyenaraian FGV Holdings Bhd di Pasaran Utama Bursa Malaysia bakal berakhir selepas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) secara rasmi memperoleh lebih 90 peratus pegangan dalam syarikat itu, menjadikannya layak untuk dinyahsenarai.
Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia semalam, Felda dan pihak-pihak yang bertindak secara sepakat (PACs) kini menguasai 91.73 peratus atau 3.35 bilion saham FGV. Angka itu dicapai menjelang jam 5 petang, 29 Julai 2025 — sekaligus membuka jalan untuk proses penarikan balik penyenaraian.
“Felda sebelum ini telah menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak berniat untuk mengekalkan status penyenaraian FGV,” kata FGV dalam kenyataan kepada bursa.
Berikutan itu, Bursa Securities akan menggantung dagangan saham FGV lima hari pasaran selepas tarikh akhir tawaran pengambilalihan.
Tawaran tanpa syarat Felda, iaitu pada harga RM1.30 sesaham, masih dibuka sehingga 5 petang Jumaat, 15 Ogos 2025. Tawaran itu dikendalikan oleh Maybank Investment Bank Bhd selaku penasihat kewangan Felda.
Felda sebelum ini berulang kali menyatakan hasrat untuk menguasai sepenuhnya FGV — syarikat perladangan yang disenaraikan pada 2012 sebagai antara IPO terbesar negara — dalam usaha menyusun semula entiti yang sebelum ini berdepan pelbagai cabaran prestasi dan tadbir urus.
Dengan kawalan melebihi 90%, Felda kini dalam posisi untuk menjadikan FGV sebagai syarikat milik penuh, sekaligus mengakhiri satu dekad keberadaannya di papan utama Bursa.







