BENGALURU, 17 Jan — Rantaian bekalan global Nvidia berdepan gangguan baharu apabila pembekal komponen cip kecerdasan buatan (AI) H200 dilaporkan menghentikan sementara pengeluaran, susulan tindakan pihak kastam China menyekat kemasukan cip berkenaan ke negara itu.
Menurut laporan Financial Times, keputusan mengejut tersebut menyebabkan pembekal utama Nvidia menghentikan operasi selepas penghantaran cip H200 yang sebelum ini diluluskan gagal melepasi pemeriksaan kastam China. Laporan itu memetik dua individu yang mengetahui secara langsung perkembangan berkenaan.
Setakat ini, Nvidia belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut, manakala Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu secara bebas.
Difahamkan, Nvidia menjangkakan lebih satu juta tempahan daripada pelanggan di China bagi cip H200 — cip AI kedua paling berkuasa keluaran syarikat itu — dengan pembekal beroperasi tanpa henti bagi memastikan penghantaran boleh bermula seawal Mac tahun ini.
Bagaimanapun, sumber memberitahu bahawa pihak berkuasa kastam China minggu ini telah memaklumkan kepada ejen kastam bahawa cip Nvidia H200 tidak dibenarkan memasuki negara tersebut. Dalam masa sama, beberapa syarikat teknologi tempatan turut dipanggil oleh pegawai kerajaan dan diberi amaran agar tidak membeli cip berkenaan kecuali benar-benar perlu.
Menurut sumber yang enggan dinamakan kerana sensitiviti isu, pihak berkuasa China tidak memberikan sebarang alasan rasmi terhadap arahan tersebut, malah tidak menjelaskan sama ada langkah itu merupakan larangan menyeluruh atau sekatan sementara.
Medan Baharu Pertembungan AS–China dalam Teknologi AI
Cip H200 kini menjadi antara titik panas terbaharu dalam ketegangan hubungan Amerika Syarikat–China, khususnya dalam perlumbaan teknologi kecerdasan buatan. Walaupun permintaan daripada syarikat China kekal tinggi, hala tuju sebenar Beijing masih tidak jelas.
Pemerhati industri berpendapat China mungkin mempertimbangkan larangan penuh bagi membuka ruang kepada pengeluar cip tempatan untuk berkembang, atau menggunakan sekatan tersebut sebagai alat rundingan strategik dalam perbincangan dengan Washington.
Apa jua keputusan yang bakal diambil, tindakan terhadap cip Nvidia H200 dijangka memberi kesan besar terhadap pasaran AI global, rantaian bekalan semikonduktor, serta keseimbangan kuasa teknologi dunia.







