KUALA LUMPUR: YTL Group mengumumkan pelantikan beberapa anggota generasi baharu keluarga Yeoh sebagai pengarah dan pengarah ganti dalam syarikat kumpulan itu.
Dalam kenyataan, kumpulan itu memaklumkan Joseph Yeoh Keong Shyan dilantik sebagai pengarah ganti kepada Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping di Pintar Projek Sdn Bhd, yang dipengerusikan secara eksekutif oleh Francis.
Joseph turut dilantik sebagai pengarah YTL Hotels & Properties Sdn Bhd dan YTL Land & Development Bhd.
Beliau juga berkhidmat sebagai pengarah ganti kepada Francis di Starhill Global Real Estate Investment Trust (REIT) Management Ltd di Singapura.
Menurut kenyataan itu, Yeoh Pei Nee dilantik sebagai pengarah ganti kepada Datuk Yeoh Seok Kian di Starhill Global REIT Management Ltd.
Dua lagi anggota keluarga berkenaan, Yeoh Pei Teeng dan Yeoh Keong Wei, dilantik sebagai pengarah YTL Land & Development Bhd.
Sementara itu, Yeoh Pei Xien dilantik sebagai pengarah YTL Hotels & Properties Sdn Bhd serta pengarah ganti kepada Datuk Yeoh Soo Min di Pintar Projek Sdn Bhd.





