Terpulang Khairy mahu sertai parti mana – Zahid Hamidi

author
1 minute, 44 seconds Read

KUALA LUMPUR: Terpulang kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin untuk menyertai parti lain, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, itu haknya memandangkan Khairy bukan lagi ahli parti itu.

“Itu hak dia untuk ke mana-mana pun. Dia tidak lagi menjadi ahli UMNO,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), hari ini.

Semalam, media melaporkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu kepada Khairy, jika beliau mahu menyertai parti itu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada UMNO, pada Januari lalu.

Beliau berkata, tawaran itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan Khairy memberi sumbangan bagi memperkukuhkan kedudukan BERSATU, selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.

Bagaimanapun, Khairy yang masih tidak mempunyai parti selepas dipecat UMNO, dilihat lebih selesa ‘menutup mulut’ mengenai masa depan politiknya walaupun sudah ditawarkan menyertai BERSATU.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi UMNO, Lokman Adam berkata, Khairy mungkin menerima tawaran Muhyiddin Yassin menyertai Bersatu, jika beliau dinamakan sebagai calon menteri besar oleh Perikatan Nasional (PN) pada PRN akan datang, kata seorang pemimpin Umno.

Pengarah Komunikasi Umno, Lokman Adam berkata, perkara ini mungkin dituntut bekas menteri kesihatan itu “jika tidak sabar dengan keadaannya sekarang”.

“Tak mustahil Khairy diterima semula (oleh Umno),” kata Lokman dalam sesi soal jawab secara langsung di Facebook Live semalam.

“(Namun) kalau gelojoh dan tak sabar, maka beliau akan terima pelawaan Muhyiddin jadi calon PN, calon menteri besar … tidak mustahil.”

Menjawab soalan penonton sama ada Khairy akan mengikut jejak Dr Mahathir Mohamad, yang dipecat Umno pada 1960-an, tetapi diterima semula sebelum menjadi perdana menteri, Lokman tidak menolak kemungkinan itu.

“Kalau Khairy betul-betul bijaksana, beliau akan bersabar, tunggu suatu hari nanti dapat kembali ke pangkuan Umno.

“Saya rasa KJ bukanlah orang yang tak boleh berfikir…beliau masih boleh berfikir dengan waras. Saya rasa beliau pun tahu, Umno masih lagi pilihan utamanya.

“(Saya) juga pernah dibuang oleh Zahid Hamidi, tetapi diambil balik (menyertai Umno) oleh beliau.”

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *