9 rakyat Malaysia cedera pesawat Singapore Airlines alami gelombang udara ektrem

author
1 minute, 5 seconds Read

KUALA LUMPUR: Sembilan rakyat Malaysia dilaporkan cedera termasuk seorang anak kapal susulan pesawat Singapore Airlines (SIA) yang dinaiki melalui detik cemas gelombang angin ektrem semalam.

Mangsa dirawat di dua hospital selepas penerbangan SQ321 itu mendarat cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan hari ini, memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan hospital selain menghulurkan bantuan konsular kepada sembilan penumpang terbabit.

“Pada masa ini, enam rakyat Malaysia dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.

“Semua mangsa alami kecederaan fizikal dan dalaman dengan seorang mengalami kecederaan kritikal, tetapi dalam keadaan stabil.

“Mereka berada di bawah pengawasan di wad secara berasingan dan sedang menunggu laporan perubatan,” menurut kenyataan itu.

Susulan kejadian itu, seorang dilaporkan meninggal dunia membabitkan seorang lelaki warga British berusia 73 tahun.

SIA memaklumkan, penerbangan mengalami gelora angin ekstrem secara tiba-tiba di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 37,000 kaki, kira-kira 10 jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow.

Ia memaksa juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER itu ke Bangkok.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok di Kronos Sathorn Tower Level 17, 46 North Sathorn Road, Silom Bang Rak, Bangkok.

Mereka juga boleh menghubungi talian +66-2340-5731/5732 (waktu pejabat) atau +66-87-028-4659 (selepas waktu pejabat).

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *