SHAH ALAM: Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Ros, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tujuh pertuduhan pecah amanah berjumlah RM271,000 sejak tahun lalu.
Untuk pertuduhan pertama dan kedua, Raduan sebagai Presiden MPN yang diamanahkan dana majlis itu, melakukan pecah amanah menyalahgunakan peruntukan itu dengan meluluskan RM33,000 pada 14 Mac 2023 dan RM38,000 pada 3 April 2023 ke dalam akaun CIMB milik Kefli Mahpol.
Raduan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), turut didakwa atas lima pertuduhan pecah amanah lain atas kapasitinya sebagai Pengarah MPN Global Reach Sdn Bhd yang diamanahkan dengan penguasaan terhadap wang pendahuluan bagi program UKM Shape-MPN Global Reach Sdn Bhd.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyalahgunakan wang pendahuluan program UKMShape-MPN Global Reach Sdn Bhd berjumlah RM200,000 dan diberikan kepada individu yang sama.
Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di antara 5 hingga 15 April 2024, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara di antara dua hingga 20 tahun serta denda dan sebatan jika sabit kesalahan.
Susulan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin Hau, menawarkan jaminan RM70,000 kepada tertuduh dengan syarat tambahan iaitu pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Namun, peguam bela, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang mewakili Raduan memohon supaya jaminan dikurangkan.
Beliau memohon supaya mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan atas alasan reputasi dan imej Raduan sebagai ahli akademik.
Sementara itu, Raduan ketika merayu supaya jaminan terhadapnya dikurangkan dan berkata beliau masih terkejut terhadap pertuduhan yang dihadapinya hari ini.
Hakim, Datuk Anita Harun membenarkan tertuduh dijamin RM40,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkannya melaporkan diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada setiap bulan.
Sementara itu, di mahkamah sama Keifli yang juga seorang penganggur turut berdepan tujuh pertuduhan bersuhabat dengan Raduan melakukan pecah amanah terhadap semua jumlah yang dikaitkan dengannya.
Hakim menetapkan jumlah ikat jamin RM40,000 terhadapnya berserta syarat tambahan iaitu Kefli juga diarahkan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sekali sebulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 23 Oktober depan untuk tarikh sebutan dan pengurusan kes bagi Raduan dan Kefli. Raduan membayar jaminan yang ditetapkan.Presi