KUALA LUMPUR: Exsim Hospitality Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Exsim Concepto Sdn Bhd, memperoleh subkontrak bernilai RM13.49 juta daripada Binastra Builders Sdn Bhd bagi kerja pertukangan kayu.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata skop kerja merangkumi pembekalan, pembuatan, penghantaran dan pemasangan, dengan pelaksanaannya mengikut jadual kontrak utama yang ditetapkan Binastra Builders.
Kontrak utama tersebut mempunyai tempoh pelaksanaan selama 42 bulan, bermula 9 Disember 2024 hingga tarikh siap yang dijadualkan pada 8 Jun 2028.
Subkontrak itu turut menetapkan tempoh tanggungan kecacatan selama 27 bulan dari tarikh pengeluaran sijil siap kerja praktikal, atau sehingga semua kecacatan selesai dibaiki, mengikut mana-mana yang terkemudian.
Menurut Exsim Hospitality, penerimaan surat anugerah berkenaan dijangka memberikan sumbangan positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham dan nisbah penggearan kumpulan sepanjang pelaksanaan kerja tersebut.





