KUALA LUMPUR: Projek Taman Solar Helios di Gua Musang, Kelantan, yang dianggarkan bernilai RM2.8 bilion, disasarkan mula menjana tenaga hijau menjelang akhir 2028.
Projek berskala besar berkapasiti 1,000 megawatt (MW) atau 1 gigawatt (GW) itu turut dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 1,600 MW bagi menyokong kestabilan bekalan tenaga.
Ketua Pegawai Operasi Helios Solar AG, Datuk Dr Zuraidi Ishak berkata, pembangunan projek berkenaan akan dilaksanakan dalam dua fasa utama, masing-masing melibatkan kapasiti 500 MW.

“Projek ini berada di lokasi strategik dengan kemudahan dua pencawang berkapasiti 275 kilovolt-ampere (kVA) serta sokongan tanah seluas 3,000 ekar.
“Kita menyasarkan penjanaan tenaga komersial bagi fasa pertama dapat beroperasi menjelang akhir 2028 untuk mengejar insentif yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis menandatangani perjanjian Projek Taman Solar Helios Kelantan di Kuala Lumpur pada Rabu.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Helios Photovoltaic Sdn Bhd, Datuk Ong Thuan Ming.

Mengulas mengenai pelantikan rakan strategik, Zuraidi berkata, kerjasama teknikal menyeluruh telah dibentuk bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut jadual.
Antara rakan kerjasama yang dilantik ialah AHA Consultant sebagai perunding kejuruteraan utama dan voltan tinggi, manakala Angkasa Consulting Services mengendalikan kerja struktur sivil, mekanikal serta elektrikal.
Selain itu, Total Power Solutions dilantik untuk menjalankan kajian sistem kuasa, sementara TNB Research Sdn Bhd (TNBR) mengetuai penilaian impak alam sekitar dan sosial (EIA).
Sementara itu, Ong berkata, pihaknya yakin terhadap prospek pasaran dan ketersediaan dana bagi projek berkenaan, didorong permintaan tinggi daripada sektor pusat data.
“Projek ini menerima banyak pertanyaan daripada pusat data yang memerlukan jumlah tenaga yang sangat besar. Langkah ini tepat pada masanya untuk memenuhi keperluan mereka.
“Dari segi pembiayaan, nilai pelaburan adalah di bawah RM3 bilion dan kami berada di landasan betul untuk menerbitkan sukuk bernilai RM2 bilion dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau menambah, syarikat itu baru sahaja disenaraikan di Bursa Saham Frankfurt dan kini bebas daripada sebarang hutang, sekali gus membolehkan pihaknya meneroka pelbagai instrumen kewangan bagi menjayakan projek tersebut.





