KUALA LUMPUR: Kerugian terkumpul Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) mencecah RM13.20 bilion pada akhir 2025, dengan rosot nilai aset dan kos keuntungan sukuk menjadi penyumbang utama, menurut Kementerian Kewangan.
Angka itu berkait dengan penstrukturan semula kewangan Lembaga Tabung Haji (LTH) pada 2018, apabila UJSB mengambil alih aset bernilai RM9.7 bilion pada harga RM19.9 bilion.
Perbezaan sebanyak RM10.2 bilion merupakan premium bagi membantu memulihkan kedudukan kewangan LTH. Bagaimanapun, premium tersebut menjadi beban kerugian kepada UJSB melalui rosot nilai aset.
Selain itu, UJSB turut menanggung kos keuntungan sukuk yang terakru kepada LTH. Kementerian menjelaskan bahawa kos sukuk di pihak UJSB merupakan pendapatan keuntungan terakru di pihak LTH.
Penjelasan itu diberikan menerusi jawapan bertulis Parlimen kepada Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa), yang bertanyakan kedudukan kewangan UJSB serta keupayaannya memenuhi obligasi sukuk tanpa tambahan sokongan kerajaan.
Walaupun menanggung kerugian terkumpul yang besar, kementerian berkata angka tersebut perlu dibezakan daripada prestasi operasi syarikat.
UJSB dilaporkan mencatatkan keuntungan operasi secara konsisten sejak 2019, termasuk RM297 juta bagi tahun kewangan 2025. Nilai aset di bawah pengurusannya pula meningkat kepada RM11.61 bilion pada akhir 2025, berbanding RM9.7 bilion pada 2018.
Menurut kementerian, usaha pemulihan turut membolehkan syarikat perladangan yang kembali menjana keuntungan diserahkan semula kepada LTH pada harga lebih rendah daripada harga pengambilalihan.
Bagi 2027, kerajaan menyediakan peruntukan RM1 bilion kepada UJSB untuk penebusan awal sukuk, yang turut bertujuan memperkukuh aliran tunai LTH.
Kementerian menyatakan komitmen untuk meneruskan peruntukan penebusan awal itu, tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan. Peruntukan sebelum ini tidak dapat disediakan seperti dirancang kerana keutamaan perbelanjaan ketika pandemik COVID-19.
UJSB ialah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan untuk mengambil alih dan memulihkan aset LTH yang tidak berdaya saing.






