KUALA LUMPUR: RHB Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus dengan mengekalkan pendirian neutral dalam mesyuarat jawatankuasa dasar monetari pada 6 Julai ini.
Cabang penyelidikan RHB Banking Group itu sebelum ini mengunjurkan OPR akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas (bps).
Dalam nota penyelidikannya hari ini, RHB Research berkata pemangkin bagi perubahan itu adalah berikutan risiko inflasi yang terhad, langkah campur tangan BNM dalam pasaran pertukaran asing (FX) serta pendiriannya terhadap ekonomi global.
“Biarpun kami percaya inflasi indeks harga pengguna (IHP) teras menjadi isu dalam separuh kedua 2023, (prestasi nilai) ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akan mencecah 4.75 dalam tempoh terdekat dengan perspektif imbangan risiko menunjukkannya boleh mencecah sekitar 4.88 pada suku keempat 2023 manakala kadar pertukaran efektif nominal (NEER) mungkin di paras terendah kitaran baharu.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR berdasarkan pandangan bahawa risiko inflasi adalah terhad dan penyusutan ringgit pula terutamanya disebabkan oleh faktor luaran dan bukan domestik,” katanya.
RHB Research juga menyifatkan langkah campur tangan BNM dalam FX membantu menstabilkan ringgit berbanding dolar AS baru-baru ini, menjadi petunjuk bahawa bank pusat itu berkemungkinan tidak berhasrat menumpukan aspek mempertahankan kadar faedah.
Ia menganggap campur tangan tersebut sebagai pendekatan sementara bagi menangani isu terbabit di pasaran sedang pesat membangun yang menyaksikan asas pemacu mata wang terbabit di laluan penurunan.
“Oleh itu, kami percaya rizab FX akan susut kepada sekitar AS$109 bilion dalam tempoh tiga bulan berikutnya daripada paras AS$112.7 bilion pada 31 Mei, 2023, ketika BNM terus memanfaatkan dasar campur tangan FX untuk menstabilkan ringgit berbanding dolar AS.
“Pada kesudahannya, campur tangan FX itu tidak berkemungkinan mempunyai kesan bertahan lama terhadap haluan ringgit berbanding dolar AS,” katanya.
RHB Research bagaimanapun berkata bank berkenaan mengekalkan unjuran kemuncak OPR di paras 3.25 peratus pada 2023.