KUALA LUMPUR, 20 Nov — Kerajaan Pahang terbuka kepada cadangan projek penyelidikan solar terapung luar pesisir berkapasiti 780 kilowatt (kW) di Pulau Tioman, dengan syarat tapaknya dinilai secara menyeluruh dan pelaksanaannya mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata penilaian itu perlu meneliti kesan pemasangan panel solar terhadap terumbu karang, hidupan marin dan landskap pesisir pantai. Keselamatan pelancong serta keperluan penyelenggaraan jangka panjang turut perlu diambil kira.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, mengenai perkembangan cadangan itu dan pendirian kerajaan negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.
Projek yang dicadangkan oleh TNB Research dengan kerjasama SolarDuck dan Hydro itu bertujuan menilai kebolehlaksanaan teknologi solar terapung luar pesisir di Malaysia dari sudut teknikal dan ekonomi.
Tapak cadangan dalam kawasan taman laut
Wan Rosdy berkata Jawatankuasa Teknikikal Sumber Air dan Tenaga telah meneliti cadangan tersebut. Tapaknya terletak dalam kawasan taman laut yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 serta kawasan yang diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Sehubungan itu, cadangan berkenaan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa serta pematuhan syarat teknikal dan perundangan. Wan Rosdy berkata kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan pelaksanaannya berdasarkan dapatan laporan teknikal, dengan mengambil kira pemuliharaan taman laut dan kepentingan pelancongan pulau itu.
Menjawab soalan tambahan Mohd Johari, Wan Rosdy berkata kajian itu meneroka solar luar pesisir sebagai sumber tambahan bekalan elektrik bagi Pulau Tioman, yang masih bergantung pada penjanaan menggunakan diesel.
Beliau menjelaskan bahawa inisiatif itu menyasarkan pengurangan penggunaan diesel. Penjanaan elektrik menggunakan diesel masih diperlukan.






