
KUALA LUMPUR: Suntikan pelaburan sebanyak RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) dilaksanakan dalam bentuk pinjaman bukan berbentuk dana hangus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihak pengurusan syarikat akan membayar balik pinjaman itu apabila mendapat keuntungan.
“Apakah dana ini dana hangus? Tidak. Apa yang dilakukan ialah suntikan ini akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baharu mudah-mudahan akan mengurus dengan lebih baik.
“Apabila (SEB) mendapat keuntungan, (mereka) membayar semula dana suntikan itu, pulangkan (semula) RM1.1 bilion, jadi ini bukan suntikan dana tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, suntikan dana itu bukan satu bentuk ‘bailout’, sebaliknya untuk membantu vendor yang terkesan akibat masalah kewangan dihadapi syarikat berkenaan.
“Ini bukan ‘bailout’ tetapi pengurusan lama keluar dan diganti dengan pengurusan baharu. Siasatan diteruskan.
“Kita tidak boleh menghukum 2,000 syarikat vendor. Oleh itu, suntikan dana bukan kepada syarikat tetapi vendor. Tanpa SEB, tiada syarikat tempatan yang boleh mengendalikan operasi ini dan terpaksa diserahkan kepada syarikat asing,” tambahnya.
Semalam media melaporkan SEB memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
Dalam satu kenyataan pada Selasa, SEB menjelaskan pihaknya memeterai perjanjian pembiayaan bersyarat dengan MDH, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha penstrukturan semula kewangannya, mengukuhkan komitmen SEB terhadap kemampanan jangka masa panjang.
MDH, sebuah syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan), menetapkan hasil langganan itu hanya akan digunakan untuk penyelesaian atau pembayaran liabiliti yang terhutang oleh SEB Group kepada penyedia perkhidmatan Malaysia yang beroperasi dalam atau menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia.