PUTRAJAYA: Sebuah trailer hilang kawalan lalu melanggar susur jalan dan masuk ke jalan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori kecil menjadi punca kemalangan di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong, berhampiran susur keluar Persiaran Timur hari ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata ketika kejadian anggota polis trafik sedang melakukan latihan kawalan sempena Le Tour de Langkawi (LTdL) dengan menghentikan lalu lintas, turut dirempuh namun anggota berkenaan sempat menyelamatkan diri.
Dua penunggang motosikal berusia 26 dan 39 tahun maut dalam kejadian manakala seorang mangsa cedera ditempatkan di zon merah, dua zon kuning manakala tiga lagi sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang.
“Jenazah dua mangsa yang maut masih berada di unit forensik bagi proses pengecaman ahli keluarga dan bedah siasat,” katanya di luar bangunan Unit Forensik Hospital Putrajaya hari ini.
Terdahulu media melaporkan sebuah trailer muatan batu pasir merempuh deretan kenderaan yang berhenti menyebabkan dua penunggang motosikal maut di tempat kejadian.
Nahas jam 10.15 pagi membabitkan enam kereta, dua motosikal awam, satu motosikal polis trafik dan sebuah lori kecil di kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala ke Puchong
Asmadi berkata, pihaknya juga sedang berusaha menghubungi waris mangsa untuk proses pengecaman dan bedah siasat.
“Siasatan lanjut mendapati pemandu trailer tidak mempunyai rekod kesalahan trafik dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987. Pemandu ditahan untuk siasatan dan ujian air kencing,” katanya.