Ringgit kukuh 14.4 peratus, antara mata wang terbaik global – BNM

KUALA LUMPUR: Ringgit merupakan antara mata wang yang sedang menunjukkan prestasi terbaik pada peringkat global, mengukuh kepada 14.4 peratus berbanding dolar AS pada suku ketiga 2024 dan 11.4 peratus pada asas sejak awal tahun sehingga kini, menurut Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia (BNM).

Hal ini didorong terutamanya oleh pengurangan kadar dasar sebanyak 50 mata asas oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) serta trajektori yang lebih jelas mengenai pengurangan selanjutnya.

“Walaupun dengan prestasi yang lebih kukuh, mesyuarat mengambil maklum perkembangan utama yang menyokong prestasi positif berterusan ringgit termasuk usaha terselaras yang berterusan oleh kerajaan dan BNM untuk menggalakkan penghantaran balik dan penukaran pendapatan pelaburan asing oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat korporat.

“Ini telah menyumbang kepada mudah tunai pasaran pertukaran asing domestik yang mencukupi, yang mencatatkan purata jumlah dagangan harian sebanyak AS$17.6 bilion,” jelasnya dalam ringkasan mesyuarat FMC BNM pada 1 Oktober yang dikeluarkan hari ini.

Ahli FMC juga menjelaskan bahawa pengaturan semasa boleh dikekalkan untuk memastikan mudah tunai yang lebih baik dalam pasaran pertukaran asing tempatan.

Selain itu, keyakinan kalangan pelabur terhadap Malaysia telah bertambah baik susulan pertumbuhan ekonomi negara yang teguh di samping komitmen berterusan kerajaan terhadap pembaharuan struktur. tambah FMC.

“Aliran masuk portfolio asing yang ketara juga diperhatikan pada suku ketiga 2024 berikutan prestasi KLCI yang kukuh dan tebaran Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)-Perbendaharaan Amerika Syarikat (UST) yang semakin normal.

“Mesyuarat juga berpendapat bahawa libat urus yang kerap bersama pelabur oleh pihak berkuasa membuahkan hasil dalam meningkatkan kesedaran pelabur mengenai Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik serta menekankan semula kepentingan dasar yang koheren dan konsisten secara berterusan,” menurut FMC.

Ahli mesyuarat juga berkongsi pemerhatian mengenai perubahan amalan syarikat korporat berikutan pemulihan ringgit.

“Dalam kalangan pengeksport, terdapat perubahan sentimen yang membawa kepada minat yang lebih besar untuk menukar hasil eksport, manakala pengimport juga telah mengurangkan kecenderungan untuk membeli secara berlebihan dengan membeli kuantiti yang diperlukan sahaja untuk aktiviti perniagaan,” tambah FMC.

FMC juga memaklumkan langkah untuk meningkatkan mudah tunai dan menambah jumlah pelabur dalam pasaran bon dan sukuk korporat juga dibincangkan.

Dalam tempoh terdekat ini, inisiatif penting termasuk pengenalan urus niaga bon dan sukuk korporat sebagai sebahagian daripada penilaian usaha pembangunan pasaran dalam rangka kerja “Principal Dealers” (PD); sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri yang utama bagi membiasakan pelabur bukan pemastautin dengan nama korporat dan struktur sukuk Malaysia selain bon kerajaan Malaysia.

Mesyuarat FMC pada 1 Oktober lepas telah membincangkan perkembangan terkini pasaran ringgit, diikuti dengan kemas kini mengenai inisiatif pembangunan pasaran termasuk peralihan KLIBOR serta strategi untuk mempertingkatkan pasaran bon dan sukuk domestik. – BERNAMA

Coelho

Related Posts

Ringgit mengukuh dalam ketidaktentuan berterusan perang dagang AS-China

KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi pembukaan pada Jumaat berikutan Indeks Dolar AS (DXY) terus berada di bawah paras 100 mata dalam ketidaktentuan berterusan disebabkan…

Harga emas susut lebih 2.0 peratus kepada RM426 segram

BENGALURU: Harga emas global merosot lebih dua peratus, susulan pelabur beralih kepada dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai aset selamat selepas pengumuman tarif besar-besaran oleh Washington mencetuskan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You Missed

Laporan Ambank bergabung dengan Affin hanya spekulasi – Premier Sarawak

  • April 18, 2025
Laporan Ambank bergabung dengan Affin hanya spekulasi – Premier Sarawak

Hextar muncul pemegang saham terbesar Widad berikutan penjualan tanah di Nilai

  • April 18, 2025
Hextar muncul pemegang saham terbesar Widad berikutan penjualan tanah di Nilai

Ringgit mengukuh dalam ketidaktentuan berterusan perang dagang AS-China

  • April 18, 2025
Ringgit mengukuh dalam ketidaktentuan berterusan perang dagang AS-China

Menara KL ditutup sementara bermula Khamis

  • April 17, 2025
Menara KL ditutup sementara bermula Khamis