
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan daripada bekas pengendali Menara Kuala Lumpur untuk perintah injunksi interim bagi menghentikan sementara pemberian konsesi kepada anak syarikat Lim Seong Hai Capital Bhd, LSH Service Master Sdn Bhd.
Permohonan itu dikemukakan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), dan induknya Hydroshoppe Sdn Bhd yang turut memfailkan saman terhadap LSH Capital yang dimiliki sepenuhnya LSH Best Builders Sdn Bhd serta LSH Service Master milik 70 peratusnya.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah kerajaan Malaysia, serta Kementerian Komunikasi dan Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, selain rakan usaha sama LSH Capital Service Master (M) Sdn Bhd, yang memegang baki 30 peratus daripada LSH Service Master.
Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan bahawa imbangan kemudahan tidak memihak untuk memberikan injunksi kepada bekas pengendali itu tetapi dua syarikat tersebut boleh mendapatkan remedi perbicaraan untuk tuntutan, yang akan didengar dan diputuskan mahkamah.
“Apa yang ada (Hydroshoppe dan MKLSB) ialah perjanjian konsesi kelima berlangsung dari 1 Julai 2024 hingga 31 Mac 2025, serta minit (mesyuarat menyatakan) bahawa pihak kerajaan boleh melanjutkan tempoh kontrak,” kata beliau dalam penghakimannya.
Bagaimanapun katanya sambil menolak permohonan itu, semua dokumen tidak memihak kepada plaintif dan terdapat permintaan untuk cadangan pengambilalihan konsesi pada Mac 2024.
Hujah yang menyatakan anak-anak syarikat LSH Capital tidak mempunyai sebarang kepakaran untuk mengendalikan atau menguruskan Menara Kuala Lumpur, bukanlah asas untuk mahkamah tersebut boleh memberikan injunksi sementara.
LSH Service Master sepatutnya mengambil alih Menara Kuala Lumpur pada 1 April 2025, tetapi perselisihan berlaku selepas Hydroshoppe dan MKLSB memulakan tuntutan mahkamah terhadap pemberian konsesi dengan mendakwa pelanggaran kontrak dan salah laku.
Susulan itu, LSH Service Master membuat laporan polis terhadap Hydroshoppe selepas ia tidak dapat menjalankan operasi.
Dalam prosiding semalam, mahkamah juga menetapkan 9 Jun 2025 untuk mendengar permohonan injunksi interim Hydroshoppe dan MKLSB.
Roz Mawar juga memerintahkan defendan memfailkan jawapan mereka bagi membantah permohonan injunksi interim selewat-lewatnya pada 17 April 2025, sebelum Hydroshoppe dan MKLSB membalas balik selewat-lewatnya pada 2 Mei 2025.
Hakim juga mengarahkan kerajaan dan menteri komunikasi, bersama dengan syarikat-syarikat LSH Capital, untuk mengemukakan pembelaan mereka sebelum 21 April.
Beliau juga mengarahkan kerajaan dan menteri komunikasi, bersama-sama syarikat LSH Capital, memfailkan pembelaan mereka selewat-lewatnya pada 21 April 2025.
Dalam saman mereka yang difailkan pada 27 Mac 2025, Hydroshoppe dan MKLSB mendakwa bahawa LSH Capital dan unitnya telah menyebabkan pelanggaran kontrak yang dipersetujui oleh plaintif dengan kerajaan dalam mesyuarat 1 Ogos 2022.