KUALA LUMPUR — NCT Alliance Berhad terus memperkukuhkan kedudukannya dalam sektor pembangunan hartanah perindustrian apabila merancang pembangunan baharu di Kuala Langat, Selangor dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM1.5 bilion.
Langkah itu dibuat menerusi cadangan pengambilalihan pegangan sebanyak 80 peratus dalam Semanja Murni Sdn Bhd (SMSB), syarikat pemilik tanah seluas kira-kira 176.7 ekar yang terletak bersebelahan pembangunan sedia ada kumpulan itu, NCT Smart Industrial Park (NSIP).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, NCT Alliance berkata pengambilalihan tersebut akan dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, NCT World Sdn Bhd (NCTW), pada harga langganan sebanyak RM53 juta.
Menurut syarikat itu, tanah berkenaan dirancang untuk disepadukan dengan pembangunan NSIP bagi mewujudkan sebuah ekosistem perindustrian bersepadu berskala besar di kawasan Kuala Langat yang sedang berkembang pesat sebagai hab industri baharu di Selangor.
Bagi tujuan itu, NCTW telah memeterai perjanjian langganan saham bersyarat serta perjanjian pemegang saham dengan pemegang saham sedia ada SMSB iaitu See Cherng Jye dan Datuk Seri Sim See Hua.
Di bawah perjanjian tersebut, NCTW akan melanggan lapan saham biasa baharu dalam SMSB pada harga RM53 juta, dengan pembiayaan diperoleh melalui gabungan dana dalaman dan kemudahan pinjaman bank.
Urus niaga itu dijangka diselesaikan dalam tempoh sembilan bulan. Setelah selesai, pegangan pemegang saham sedia ada dalam SMSB akan dicairkan kepada 20 peratus, manakala NCT Alliance akan menguasai kepentingan majoriti dalam syarikat tersebut.
SMSB yang berpangkalan di Pudu, Kuala Lumpur merupakan sebuah syarikat pegangan pelaburan dan dilaporkan mencatat kerugian bersih sebanyak RM9.07 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025. Namun syarikat itu mempunyai kedudukan tunai yang kukuh sebanyak RM93.72 juta tanpa sebarang pinjaman.
NCT Alliance turut mengakui bahawa sebahagian pembiayaan bagi pengambilalihan itu mungkin melibatkan pinjaman baharu, sekali gus mendedahkan kumpulan kepada risiko turun naik kadar faedah dan peningkatan kos pembiayaan dalam persekitaran ekonomi semasa.
Bagaimanapun, syarikat itu memaklumkan pihak pengurusan akan memantau secara aktif tahap hutang, kos faedah dan aliran tunai bagi memastikan kedudukan kewangan kumpulan kekal stabil sepanjang pelaksanaan projek tersebut.
Sehingga akhir Disember lalu, NCT Alliance dilaporkan mempunyai tunai dan baki bank berjumlah RM47.9 juta, selain pinjaman jangka panjang sebanyak RM247.97 juta dan pinjaman jangka pendek sekitar RM71.77 juta.







