KUALA LUMPUR — AIZO Group Berhad berjaya mengurangkan kerugian dan mencatat peningkatan pendapatan bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (S3 TK2026), didorong prestasi lebih kukuh dalam segmen kejuruteraan awam serta tenaga boleh diperbaharui.
Dalam keputusan kewangan terbaharu, kumpulan itu merekodkan pendapatan sebanyak RM34.85 juta, meningkat 8.43 peratus berbanding RM32.15 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Prestasi operasi syarikat turut menunjukkan pemulihan apabila kerugian sebelum cukai susut ketara kepada RM0.86 juta berbanding RM3.40 juta pada suku sebelumnya, manakala kerugian selepas cukai mengecil kepada RM0.79 juta daripada RM3.76 juta.
Menurut AIZO, peningkatan prestasi itu disumbangkan oleh pertambahan kerja di tapak Lombong Emas Selinsing, kemajuan pelaksanaan projek kejuruteraan awam terpilih serta tahap ketersediaan loji yang lebih baik dalam segmen tenaga.
Segmen kejuruteraan awam kekal menjadi penyumbang utama pendapatan kumpulan apabila merekodkan hasil RM26.69 juta berbanding RM21.86 juta sebelum ini. Bahagian itu turut kembali mencatat keuntungan operasi sebanyak RM0.89 juta selepas sebelum ini merekodkan kerugian operasi kecil.
Peningkatan tersebut didorong oleh sumbangan lebih baik daripada projek Ketengah serta kecekapan operasi yang semakin stabil.
Dalam masa sama, segmen tenaga meneruskan momentum positif apabila pendapatan meningkat kepada RM2.16 juta berbanding RM1.85 juta sebelumnya. Keuntungan operasi segmen itu turut bertambah kepada RM0.65 juta daripada RM0.54 juta hasil operasi loji yang lebih stabil sepanjang suku berkenaan.
Bagaimanapun, segmen produk bitumen mencatatkan penurunan pendapatan kepada RM5.99 juta berbanding RM8.42 juta sebelumnya susulan kelemahan harga bitumen global yang memberi kesan kepada harga jualan dan aktiviti perdagangan keseluruhan.
Meskipun begitu, segmen tersebut masih berjaya mencatat keuntungan operasi sebanyak RM0.18 juta.
Pengarah Eksekutif AIZO, Ahmad Rahizal Ahmad Rasidi berkata keputusan suku ketiga itu menunjukkan langkah penstrukturan semula operasi serta usaha pengoptimuman kos syarikat mula memberikan kesan positif.
Beliau berkata segmen tenaga kini semakin berkembang sebagai penyumbang penting kepada kumpulan, manakala aktiviti berkaitan infrastruktur terus mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek yang lebih baik serta disiplin operasi yang lebih kukuh.
“Walaupun masih terdapat cabaran luaran termasuk tekanan harga dan faktor masa projek tertentu, kami melihat kestabilan operasi semakin meningkat terutama dalam segmen kejuruteraan awam dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Menurut beliau, syarikat akan terus memberi fokus kepada peningkatan kualiti pendapatan, pengukuhan aliran pendapatan berulang serta strategi pertumbuhan jangka panjang yang lebih mampan.
AIZO turut memaklumkan bahawa kumpulan kekal optimis secara berhati-hati terhadap prospek 2026 meskipun persekitaran ekonomi semasa dilihat lebih sederhana.
Syarikat itu juga sedang memajukan beberapa inisiatif strategik termasuk cadangan kerjasama Kemudahan Bitumen Hijau di Sarawak serta rancangan pengembangan tenaga boleh diperbaharui bagi memperkukuh struktur modal dan fleksibiliti kewangan kumpulan.





