Peruntukan digunakan bagi penambahbaikan kemudahan pembelajaran digital, peningkatan prasarana serta pengukuhan kompetensi warga sekolah.
KUALA PERLIS: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Perlis.
Menerusi program berkenaan, HASiL bertindak sebagai agensi pelaksana dengan peruntukan itu disalurkan bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran digital, memperkukuh kompetensi warga sekolah dan menambah baik prasarana sedia ada.
Usaha tersebut bertujuan menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih moden dan inklusif, selain meningkatkan pengalaman pembelajaran murid serta guru di sekolah berkenaan.
Kurangkan jurang kemudahan pendidikan
Program Sekolah Angkat MADANI merupakan inisiatif nasional yang diterajui Kementerian Kewangan bagi mewujudkan kerjasama antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan institusi pendidikan.
Program itu antara lain bertujuan membantu mengurangkan jurang pendidikan dan meningkatkan akses sekolah kepada kemudahan pembelajaran berkualiti.
Majlis perasmian program di SK Kuala Perlis disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) HASiL, Dato’ Shaharrudy Othman.
Beliau berkata pembangunan pendidikan merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan sokongan berterusan pelbagai pihak bagi memastikan generasi muda dilengkapi ilmu, kemahiran dan nilai untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
Menurutnya, pelaksanaan SAM bukan sekadar menyokong aspirasi kerajaan, malah menjadi antara saluran HASiL untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat menerusi peningkatan kemudahan pendidikan dan keperluan pembelajaran komuniti sekolah.
HASiL berharap kemudahan dan sokongan yang disediakan dapat membantu meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran di SK Kuala Perlis, sekali gus menyumbang kepada usaha melahirkan generasi berilmu, berintegriti, bertanggungjawab serta berdaya saing.
Inisiatif kemasyarakatan kedua HASiL di Perlis
Program Sekolah Angkat MADANI itu merupakan inisiatif kemasyarakatan kedua HASiL di Perlis sepanjang 2026.
Sebelum ini, agensi berkenaan melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat Sentuhan HASiL Prihatin 2026 di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis pada 7 Februari lalu.
Turut hadir pada program SAM ialah Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Mohd Nazri Baharin; Pengarah Jabatan Khidmat Korporat HASiL, Shahrul Niza Bishahrin; Guru Besar SK Kuala Perlis, Mazlan Abu Bakar; dan Pengarah Negeri HASiL Perlis, Mohd Affendi Ayub.
Hadir sama Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah JPN Perlis, Badrul Azmi Abdul Rahman, Yang Dipertua PIBG SK Kuala Perlis, Anuar Abidin, serta tetamu jemputan.
Pelaksanaan projek bernilai RM100,000 itu diharap dapat menyediakan lebih banyak ruang dan kemudahan pembelajaran yang bermakna kepada murid serta guru SK Kuala Perlis, khususnya dalam memperkukuh penggunaan teknologi dan kualiti prasarana pendidikan.





