KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan ahli perniagaan Wong Shee Kai atau Ricky Wong, Teh Sew Wan dan Wong SK Holdings Sdn Bhd terhadap perintah injunksi yang membekukan aset serta harta mereka bernilai sehingga RM169.2 juta.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam kenyataan berkata, keputusan itu sekali gus mengekalkan perintah injunksi inter partes yang diberikan Mahkamah Tinggi pada 28 April 2022.
Perintah berkenaan membekukan aset dan harta ketiga-tiga perayu sehingga jumlah RM169.2 juta sementara menunggu keputusan saman sivil yang difailkan SC.
Ia turut melarang mana-mana pihak daripada dengan sengaja membantu atau membenarkan sebarang urus niaga melibatkan aset dan harta berkenaan.
Saman yang difailkan SC pada 2020 berkaitan dakwaan penipuan sekuriti di bawah Seksyen 179 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), membabitkan Bright Packaging Industry Bhd.
Dakwaan berkenaan masih belum diputuskan secara muktamad kerana perbicaraan saman sivil tersebut sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Perbicaraan dijadualkan bersambung pada 1 September 2026.
Permohonan ketepikan injunksi turut ditolak
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ravinthran N. Paramaguru, Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Leonard David Shim turut menolak permohonan perayu untuk mengetepikan perintah injunksi ex parte yang diberikan Mahkamah Tinggi pada 8 Mei 2020.

Mahkamah turut memerintahkan Ricky Wong, Teh Sew Wan dan Wong SK Holdings membayar kos sebanyak RM200,000 kepada SC.
SC diwakili Mohd Hafiz Mohd Yusoff dan Loo Kit Ming Keith bersama peguam luar, Datuk Lim Chee Wee serta Kwan Will Sen daripada Tetuan Lim Chee Wee Partnership.
Ricky Wong dan Wong SK Holdings pula diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada Tetuan Shafee & Co, manakala Teh diwakili Tan Sri Cecil Abraham daripada Tetuan Cecil Abraham & Partners.
Ricky Wong masih dikehendaki pihak berkuasa
Dalam perkembangan berkaitan, SC memaklumkan bahawa Ricky Wong masih belum ditahan dan dikehendaki bagi menghadapi pertuduhan jenayah di bawah CMSA serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
SC meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Ricky Wong supaya menghubungi talian 012-610 2593 atau 012-611 4657. Maklumat juga boleh disalurkan melalui e-mel [email protected].
Ricky Wong sebelum ini dikenali sebagai pengasas dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Asia Media Group Bhd. Statusnya sebagai individu dikehendaki adalah berhubung pertuduhan yang perlu dihadapi di mahkamah dan tidak dengan sendirinya merupakan sabitan bersalah.





