KUALA LUMPUR: Batu Kawan Bhd memeterai perjanjian bersyarat untuk menjual Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) kepada TMK Chemical Bhd pada harga RM939.87 juta, selepas lebih tiga bulan rundingan.
Menurut makluman Batu Kawan kepada Bursa Malaysia, TMK Chemical akan membayar RM438.55 juta secara tunai dan menerbitkan 262.5 juta saham baharu bernilai RM501.32 juta kepada Batu Kawan.
Nilai transaksi itu meningkat daripada tawaran awal RM920 juta selepas mengambil kira tunai CCM sebanyak RM99.45 juta dan hutang RM79.58 juta setakat 31 Mei lalu.
Selepas transaksi selesai, Batu Kawan akan memiliki 20.8% kepentingan langsung dalam TMK Chemical. Pegangan kolektifnya bersama pihak yang bertindak secara bersama pula meningkat daripada 46.2% kepada 57.4%.
Peningkatan pegangan itu lazimnya mewajibkan tawaran mandatori kepada pemegang saham TMK Chemical yang lain. Batu Kawan berkata, ia akan memohon pengecualian daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Syarikat itu bercadang menggunakan RM436.55 juta daripada hasil tunai untuk membayar balik sebahagian pinjaman bank dan sukuk, dengan anggaran penjimatan kos pembiayaan kasar RM18.34 juta setahun.
Batu Kawan menjangkakan keuntungan pro forma kira-kira RM598.16 juta daripada pelupusan tersebut. Keuntungan sebenar akan ditentukan selepas urus niaga selesai.
Transaksi itu dikategorikan sebagai urus niaga pihak berkaitan berikutan hubungan kekeluargaan antara Pengerusi Batu Kawan, Tan Sri Lee Oi Hian, dan Pengarah Urusannya, Datuk Lee Hau Hian, dengan pemegang saham utama TMK Chemical, Datuk Lee Soon Hian dan Lee Oi Loon.
Pelupusan itu masih tertakluk kepada beberapa kelulusan, termasuk daripada pemegang saham tidak berkepentingan, SC dan Bursa Malaysia. Ia dijangka selesai pada suku pertama 2027.





