KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mula berbincang untuk mengembalikan aset Tabung Haji (TH) yang dipindahkan kepada Syarikat Bertujuan Khas (SPV) Kementerian Kewangan (MOF) pada 2018 secara berperingkat. bagi memastikan pulangan yang dibuat berjalan dengan baik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti prestasi kewangan TH yang terus memulih, khususnya selepas bergelut isu kepincangan sebelum ini.
Beliau berkata, keputusan itu juga dibuat selepas MOF berpuas hati dengan isu pengurusan dan tata kelola yang berbangkit sebelum ini.
Tegas Anwar, penyerahan semula aset itu membuktikan membuktikan dakwaan pihak tertentu kononnya aset TH yang diletakkan di bawah SPV sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam adalah tidak benar sama sekali, sekali gus mematikan fitnah tersebut.
“Saya sudah beritahu dari awal sejak ambil jawatan ini, seandainya TH diurus dengan baik dan menyakinkan, maka MOF akan memulakan perbincangan menyerahkan semula aset yang kini diamanhkan kepada SPV kepada TH.
“Ini juga untuk mematikan fitnah kepada Menteri Kewangan ketika itu kononnya sudah memindahkan aset ini kepada bukan Islam,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini.
Turut sama hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar.
Pada Disember 2018, TH memindahkan aset yang tidak menguntungkan kira-kira RM19.9 bilion kepada SPV sebagai langkah untuk memantapkan kedudukan kewangannya.
Aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti manakala SPV itu akan dimiliki oleh Kementerian Kewangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anawar yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan turut akan meminda Akta Tabung Haji (TH) bagi menambah baik pengurusan dan kecekapan lembaga berkenaan.
Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) pindaan akta tersebut akan dibentang di Parlimen selewat-lewatnya pada sesi Parlimen awal tahun depan.
“(Kerajaan) akan meminda Akta TH bagi memenuhi maksud maqasid bukan saja pengurusan tapi juga kecekapannya untuk berfungsi memberi penghayatan kepada ibadah umat Islam.
“Kita akan cuba.. kalau tak sempat sesi Parlimen November ini, saya cuba awal tahun depan akan dibentangkan,” katanya.