Kerajaan kekal pendirian tidak tambat ringgit – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak menambat ringgit dalam usaha menangani penyusutan nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kesan buruknya kepada rakyat.

Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan menambat ringgit akan menyebabkan Malaysia hilang keupayaan untuk meneruskan dasar monetari dan seterusnya memaksa Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke tahap sama seperti kadar faedah Amerika Syarikat yang kini di ambang 5.00-5.25 peratus.

“Alangkan OPR kita pada 3.00 peratus rakyat sudah rasa amat tidak selesa, ini kan pulak (jika) dinaikkan kepada 5.25 peratus.

“Satu lagi keburukan (menambat ringgit), kawalan aliran modal tidak akan bebas kerana keluar masuk pelaburan asing ke dalam negara kita akan dikawal. Apabila kita tambat nilai ringgit, maka ini menjejaskan keyakinan dan daya saing negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar sama ada kerajaan akan bertindak menambat ringgit serta punca kejatuhan ringgit dan usaha menanganinya.

Mengulas selanjutnya, Ahmad berkata, sebahagian besar daripada kejatuhan kadar pertukaran ringgit pada tempoh terdekat ini didorong oleh pengukuhan dolar AS dan nilai mata wang serantau seperti yen Jepun, baht Thailand, won Korea, renminbi China dan peso Filipina turut susut.

“Walaupun terdapat mata wang negara jiran yang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding dolar AS, namun negara-negara tersebut telah mengetatkan dasar monetari dengan lebih agresif,” katanya.

Ahmad berkata, Malaysia juga akan memerlukan rizab antarabangsa yang tinggi untuk menjaga tambatan itu seperti nilai yang ditetapkan.

Dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan yang penting sebagai penyerap kejutan luaran di samping mengurangkan impak terhadap aktiviti ekonomi domestic.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan terus komited dan fokus dalam usaha melaksanakan polisi struktural yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara bagi menarik aliran masuk dana dan pelaburan asing yang akan menyokong pengukuhan nilai ringgit.

Ini termasuk menerusi dasar untuk menambah baik iklim pelaburan dan produktiviti Malaysia menerusi pelaksanaan Dasar Pelaburan Baharu (NIP).

“Kerajaan juga akan memastikan kemampanan fiskal dan keadaan makroekonomi yang stabil akan terus terpelihara dengan merumus dasar fiskal jangka sederhana yang teguh, berhemah dan jelas seperti Dasar fiskal, Akta Tanggungjawab Fiskal yang akan dibentangkan kepada Parlimen tidak lama lagi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, BNM akan mengambil pendekatan untuk memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur.

Malah, bagi menangani kemeruapan pasaran pertukaran asing, bank pusat itu akan terus menguruskan risiko-risiko dari perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur.

“Risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS juga dapat dikurangkan melalui penggunaan instrumen lindung nilai, penekanan kepada pinjaman luar yang berhemah dan kedalaman pasaran mata wang dalam negara yang tinggi,” katanya.

  • Coelho

    Related Posts

    Gaji RM3,000 Ke Bawah Tak Perlu Setem Kontrak Kerja, HASiL Perjelas Peraturan

    Kontrak pekerja bergaji lebih RM3,000 sebulan pula hanya memerlukan surat cara utama atau kontrak induk disetem dan diendorskan, manakala dokumen sampingan berkaitan penggajian yang sama tidak perlu melalui proses berkenaan.…

    Dagangan Malaysia-Indonesia Dijangka Cecah AS$29.3 Bilion, Kerjasama Halal Jadi Pemacu Utama

    JAKARTA – Nilai perdagangan dua hala Malaysia dan Indonesia dijangka meningkat kira-kira 10 peratus kepada AS$29.3 bilion pada 2026, didorong oleh pengukuhan hubungan ekonomi, peluasan akses pasaran serta kerjasama strategik…

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    You Missed

    Mahkamah Rayuan Kekalkan Pembekuan Aset RM169.2 Juta Milik Ricky Wong Teh Sew Wan dan Wong SK Holdings Sdn Bhd

    • August 10, 2026
    Mahkamah Rayuan Kekalkan Pembekuan Aset RM169.2 Juta Milik Ricky Wong Teh Sew Wan dan Wong SK Holdings Sdn Bhd

    HASiL Terima Peruntukan RM100,000 Naik Taraf SK Kuala Perlis Menerusi Sekolah Angkat MADANI

    • August 10, 2026
    HASiL Terima Peruntukan RM100,000 Naik Taraf SK Kuala Perlis Menerusi Sekolah Angkat MADANI

    DPS Resources, Hangyue Rancang Pusat Data 89MW di Melaka, Sasar Tarik Perusahaan China

    • August 7, 2026

    Gaji RM3,000 Ke Bawah Tak Perlu Setem Kontrak Kerja, HASiL Perjelas Peraturan

    • August 7, 2026
    Gaji RM3,000 Ke Bawah Tak Perlu Setem Kontrak Kerja, HASiL Perjelas Peraturan

    SCIB Raih Subkontrak RM24.59 Juta Bina Semula Sekolah Usang di Tambunan

    • August 5, 2026
    SCIB Raih Subkontrak RM24.59 Juta Bina Semula Sekolah Usang di Tambunan

    LYC Healthcare Berdepan Penggantungan Dagangan, Risiko Dinyahsenaraikan Bursa Malaysia

    • August 4, 2026
    LYC Healthcare Berdepan Penggantungan Dagangan, Risiko Dinyahsenaraikan Bursa Malaysia