JAKARTA – Nilai perdagangan dua hala Malaysia dan Indonesia dijangka meningkat kira-kira 10 peratus kepada AS$29.3 bilion pada 2026, didorong oleh pengukuhan hubungan ekonomi, peluasan akses pasaran serta kerjasama strategik dalam industri halal.
Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Farzamie Sarkawi, berkata pertumbuhan tersebut mencerminkan perkembangan positif hubungan perdagangan kedua-dua negara, khususnya hasil kerjasama sektor halal yang semakin berkembang dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, pelaksanaan Memorandum Kerjasama (MoC) Halal Malaysia-Indonesia yang dimeterai pada 2023 telah membuka ruang lebih luas untuk kedua-dua negara memperkukuhkan hubungan dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pembangunan modal insan.
“Kerjasama ini bukan sahaja melibatkan perdagangan, tetapi turut merangkumi pertukaran kepakaran, latihan serta pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti,” katanya.
Beliau berkata pengiktirafan bersama berkaitan pensijilan halal antara Malaysia dan Indonesia telah membantu memudahkan aliran produk halal rentas sempadan, sekali gus memberikan manfaat kepada pemain industri di kedua-dua negara.
Prestasi perdagangan Malaysia-Indonesia sebelum ini menunjukkan trend pertumbuhan positif apabila jumlah dagangan dua hala mencecah AS$26.61 bilion pada 2025, meningkat 5.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi sektor makanan dan minuman halal, eksport produk makanan diproses Malaysia ke Indonesia mencatat peningkatan 18.5 peratus pada 2025 kepada AS$640 juta, disumbangkan oleh produk seperti serbuk koko, krimer bukan tenusu, susu isian, produk coklat serta bahan perisa.
Dalam tempoh sama, import makanan diproses Malaysia dari Indonesia turut meningkat 10.8 peratus kepada AS$840 juta, dengan produk utama termasuk santan, pes koko, mi segera dan bihun.
Farzamie berkata Indonesia kekal sebagai antara sumber penting bahan mentah dan ramuan halal kepada Malaysia, khususnya dalam industri makanan, kosmetik dan penjagaan diri.
Menurut beliau, import produk berasaskan minyak sawit dari Indonesia bernilai sekitar AS$2.34 bilion, manakala import minyak sawit serta produk pertanian berkaitan minyak sawit berjumlah AS$1.14 bilion, sekali gus menyokong rantaian bekalan industri halal Malaysia.
Sementara itu, Malaysia melihat penyertaan dalam Ekspo Halal D-8 Indonesia sebagai peluang untuk memperluaskan kerjasama halal bukan sahaja bersama Indonesia, malah dengan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8).
Penyertaan Malaysia yang diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Tourism Malaysia bertujuan menghubungkan keupayaan industri halal negara dengan peluang pasaran lebih luas dalam blok D-8.
Farzamie berkata ekspo berkenaan menjadi platform untuk memperkukuhkan perdagangan halal, jaringan perniagaan, pelaburan serta pembangunan rantaian nilai halal serantau.
Beliau berkata perdagangan intra-D-8 kini bernilai sekitar AS$150 bilion hingga AS$160 bilion setahun, dengan blok berkenaan menyasarkan peningkatan kepada AS$500 bilion menjelang 2030 menerusi pengukuhan integrasi ekonomi dan industri halal.
Kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Indonesia dijangka terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serantau, khususnya dalam sektor halal yang semakin mendapat permintaan global.







